Silahkan di share ke temen temen yach

Senin, 23 November 2009

Saat Sebelum Kiamat


Saat adalah suatu hari sebelum datang Hari Kiamat. Hari itu amat berat baik di langit mahupun di bumi. Menurut Nabi Muhammad, baginda tidak tahu bila ia akan datang. Hanya Allah yang mengetahui, sabdanya lagi. Hadis tersebut terdapat di dalam ayat Allah bermaksud:

"Mereka menanyai kamu (Muhammad) mengenai Saat, bilakah ia melabuhkan. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Pemeliharaku. Tiada yang akan mendedahkannya pada waktunya yang benar, melainkan Dia. Amatlah berat ia di langit dan di bumi; ia tidak akan datang kepada kamu melainkan dengan tiba-tiba.' Mereka menanyai kamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'" (7:187)

Maka tiada seorang pun yang mengetahui dengan pasti bila Saat datang. Yang pasti hanyalah "Saat pasti datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai." (40:59).

Kebanyakan manusia dikatakan tidak mempercayainya. Bagi mereka, Allah mengingatkan, "Kami menyediakan bagi orang yang mendustakan Saat dengan yang Menyala (api neraka)" (25:11). Dan mereka yang ragu-ragu (membantah) mengenai Saat pula, dikategorikan-Nya dalam kumpulan "sesat yang jauh" (42:18).

Namun, terdapat juga beberapa orang sarjana yang telah meramalkan ketibaan Saat. Antara mereka yang berani berbuat demikian adalah atas ayat-ayat berikut, yang mereka dakwa membuka pintu kepada percubaan untuk mengetahui kedatangannya melalui kiraan saintifik. Ayat-ayat tersebut berbunyi,

"Saat pasti datang; Aku hampir-hampir merahsiakannya, supaya tiap-tiap jiwa dibalas dengan usahanya." (20:15)

"Apakah mereka menanti-nanti melainkan Saat, bahawa ia akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba? Sesungguhnya isyarat-isyaratnya telah datang; maka, apabila ia datang kepada mereka, bagaimanakah bagi mereka Peringatan (al-Qur'an) mereka?" (47:18)

Apapun, dapatan mereka hanyalah teori sahaja. Yang penting ialah kita masih hidup dan sempat lagi menyediakan bekalan untuk menghadapinya, iaitu dengan mentaati ajaran Allah di dalam al-Qur'an.

Sebenarnya Saat sudah dekat. Tandanya adalah bulan terpecah, bukan terbelah. Apa yang dimaksudkan Allah dengan "terpecah" hanya boleh diduga sahaja, dan manusia menunggu maksudnya yang sebenar. Firman-Nya:

"Saat sudah dekat; bulan terpecah." (54:1)

Selanjutnya, Allah menjelaskan bahawa pada hari berlaku Saat bumi akan bertukar kepada selain daripada bumi dan langit yang sedia ada. Firman-Nya:

"Pada hari bumi ditukar kepada selain daripada bumi dan langit," (14:48).

Saat adalah suatu hal yang besar. Apabila ia sampai dengan kegoncangan, tiap-tiap ibu yang menyusui melupakan apa yang dia menyusukan, dan tiap-tiap yang mengandung menggugurkan kandungannya, dan manusia kelihatan mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Demikian diceritakan di dalam ayat-ayat berikut:

"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu! Sesungguhnya kegoncangan Saat adalah satu hal yang besar. Pada hari apabila kamu melihatnya, tiap-tiap ibu yang menyusui melupakan apa yang dia menyusukan, dan tiap-tiap yang mengandung menggugurkan kandungannya, dan kamu melihat manusia mabuk, padahal mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah adalah keras." (22:1-2)

Banyak lagi kejadian dahsyat berlaku pada hari itu. Kesemuanya dijelaskan di dalam al-Qur'an. Antara ayat-ayat tersebut adalah seperti yang disusun di bawah ini, menurut kronologi, dan tidak perlu dijelaskan lagi kerana berada dalam keadaan cukup jelas. Pun begitu, orang-orang yang berpengetahuan, misalan dalam ilmu sains, mungkin dapat menjelaskan sesetengah ayat dengan lebih lanjut. Ayat-ayat yang dimaksudkan adalah:

"Dan pada hari Kami memperjalankan gunung-gunung, dan kamu melihat bumi menjadi rata," (18:47).

"Pada hari apabila Kami menggulung langit seperti naskhah gulungan yang digulung untuk kitab-kitab," (21:104).

"Pada hari langit berpecah belah dengan awan-awan," (25:25).

"Pada hari apabila bumi berpecah belah dari atas mereka sambil mereka bercepat-cepat," (50:44).

"Pada hari langit bergoncang, bergoncang-goncang, Dan apabila gunung-gunung berjalan, berjalan-jalan," (52:9-10).

"Apabila bumi digoyangkan, kegoyangan, Dan gunung-gunung dihancurkan, kehancuran, Dan menjadi debu yang bertaburan," (56:4-6).

"Pada hari apabila langit menjadi seperti leburan tembaga merah, Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu berjumbai," (70:8-9).

"Pada hari apabila bumi dan gunung-gunung bergentar, dan gunung-gunung menjadi timbunan pasir yang tercurah." (73:14)

"Maka, jika kamu tidak percaya, bagaimanakah kamu akan bertakwa (menjaga diri) daripada satu hari yang membuatkan kanak-kanak beruban? Kerananya langit terbelah," (73:17-18).

"Kerana apabila trompet dibunyikan, Hari itu hari yang besar," (74:8-9).

"Dan langit dibuka, dan menjadi pintu-pintu, Dan gunung-gunung diperjalankan, dan menjadi fatamorgana." (78:19-20).

"Pada hari apabila letupan bergentar," (79:6).

"Dan apabila Letupan datang, Pada hari seorang lelaki lari daripada saudara lelakinya, Dan ibunya, dan bapanya, Dan isterinya, dan anak-anaknya, Setiap lelaki, pada hari itu, ada hal yang mencukupi baginya." (80:33-37)

"Apabila matahari digelapkan, Apabila bintang-bintang dijatuhkan, Apabila gunung-gunung diperjalankan, Apabila unta-unta bunting ditinggalkan, Apabila haiwan-haiwan buas dikumpulkan, Apabila laut-laut dijadikan mendidih," (81:1-6).

"Apabila langit terbelah, Apabila bintang-bintang ditaburkan, Apabila laut-laut melimpah-limpah, Apabila kubur-kubur dibongkar," (82:1-4).

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang keras, Dan bumi mengeluarkan beban-bebannya," (99:1-2), dan,

"Tahukah kamu apakah ia yang mengetukkan? Pada hari manusia seperti rama-rama bertebaran, Dan gunung-gunung seperti bulu (kambing) berjambak yang ditarik." (101:3-5)

Begitu dahsyat kehancuran yang berlaku pada hari Saat datang. Ia dikatakan hari apabila orang-orang yang mengerjakan yang palsu akan rugi, dan "sangat celaka, dan pahit" bagi mereka yang berdosa. Firman-Nya,

"pada hari apabila Saat datang, pada hari itu, orang-orang yang mengerjakan yang palsu akan rugi." (45:27)

"Tidak, tetapi Saat adalah janji temu mereka (yang berdosa), dan Saat sangat celaka, dan pahit" (54:46).

Setelah kejadian-kejadian ngeri yang berlaku pada hari yang besar itu maka datanglah Pemelihara kita untuk hadir pada satu lagi hari yang telah dijanjikan-Nya, tetapi lebih besar. Dua ayat di bawah menceritakan tentang kedatangan-Nya:

"Maka, apabila trompet ditiupkan dengan sekali tiupan, Dan bumi dan gunung-gunung diangkat, dan dihancurkan dengan satu pukulan, Kemudian, pada hari itu, Peristiwa Besar terjadi, Dan langit terpecah, kerana pada hari itu ia menjadi lemah, Dan malaikat-malaikat berdiri di sempadannya, dan pada hari itu, lapan membawa di atas mereka Arasy Pemelihara kamu." (69:13-17)

"Apabila bumi dihancurkan, sehancur-hancurnya, Dan Pemelihara kamu datang, dan malaikat-malaikat, barisan atas barisan, Pada hari itu, Jahanam didatangkan; pada hari itu, manusia mengingati; dan bagaimanakah Peringatan (al-Qur'an) baginya?" (89:21-23)

Sekali lagi kita diingatkan tentang al-Qur'an sebagai bekalan untuk menempuh hari "apabila bumi dihancurkan, sehancur-hancurnya, dan Pemelihara kamu datang." Hari itu adalah hari kebangkitan manusia, atau Hari Kiamat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar